MANCHESTER: Pertembungan dua musuh berjiran, Manchester United dan Manchester City pagi tadi berlangsung hambar selepas terikat 0-0, tetapi ia cukup melegakan pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer.
Solskjaer menyifatkan aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford itu sebagai persembahan terbaik pasukannya menentang City.
United menang tiga daripada empat pertemuan dengan City musim lalu dan amat jarang mengancam penjaga gol lawan, Ederson hari ini, namun jurulatih dari Norway itu tetap menganggap ia sebagai aksi terbaik.
“Bukan keputusan terbaik tetapi permainan terbaik di bawah bimbingan saya. Pemain menunjukkan penguasaan bola yang bagus.
“Saya fikir tahun lalu di Etihad kami mampu memusnahkan City dalam tempoh 10 hingga 25 minit pertama dan memperoleh gol hasil serangan balas.
“Bagaimanapun kami hanya menguasai 30 peratus perlawanan ketika itu dan bergelut di babak kedua. Permainan hari ini lebih baik cuma tidak cukup bagus untuk mendapatkan gol,” kata Solskjaer.
Hanya empat percubaan dilakukan kedua-dua pasukan hari ini, namun seri keputusan yang melegakan Solskjaer kerana ia hadir empat hari selepas United tersingkir dari Liga Juara-Juara.
Kata Solskjaer, kekalahan 3-2 kepada RB Leipzig, Selasa lalu benar-benar memberi tamparan dan mencabar mental pasukannya.
“Kami sedar hari ini adalah perlawanan besar, jadi kami perlu mengerah tenaga dan segera bangkit daripada kekalahan. Pemain kami wajar dipuji,” katanya.
City memperoleh beberapa peluang terbaik, namun penjaga gol tuan rumah, David de Gea berjaya menyelamatkan percubaan Riyad Mahrez, manakala video bantuan pengadil (VAR) menafikan sepakan penalti Marcus Rashford.
“Kami tidak kalah kali ini dan tahun lalu kami kalah.
“Kami bergelut mencipta peluang kerana mereka sangat kuat. Kami bermain berhati-hati tetapi lawan gagal mendapat gol, jadi ia keputusan yang baik.
“Secara keseluruhan, kami memiliki peluang yang lebih baik berbanding lawan. Kami juga juga mampu memenangi perlawanan tapi seri tetap memberi mata yang baik,” kata jurulatih City, Pep Guardiola.
Keputusan seri meletakkan United di tangga kelapan liga dengan 20 mata, satu mata mengatasi City yang menghuni kedudukan kesembilan. – AGENSI