LONDON: Sepakan penalti Mohamed Salah pada minit ke-79 menyelamatkan Liverpool yang mengikat Fulham 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi.
Bagaimanapun pengurus Reds, Jurgen Klopp percaya gol Fulham yang disempurnakan Bobby Decordova-Reid sepatutnya dibatalkan kerana berlaku kekasaran sebelum jaringan itu diperoleh.
Fulham menguasai babak pertama dan melancarkan beberapa gerakan bahaya sebelum Decordova-Reid melakukan rembatan cantik pada minit ke-25 untuk meletakkan tuan rumah di depan.
Begitupun Salah telah dijatuhkan pemain lawan ketika gerakan gol dilakukan dan Klopp percaya jaringan itu tidak patut dibenarkan.
“Saya minta pandangan kamu semua, saya mahu tahu apa kamu fikir.
“Kedua-dua pandangan kita tidak relevan,” kata Klopp bertanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Klopp kemudian berkata, kekasaran jelas berlaku, sekalipun bukan kad merah pengadil sepatutnya melayangkan kad kuning.
“Dia menolak Mo (Salah) dan mendapat kelebihan. Kalau dia tidak tolak Mo, kami akan mendapat bola,” kata Klopp.
Keputusan seri menyaksikan Reds terlepas peluang merampas kedudukan pendahulu selepas pesaing utama mereka, Tottenham terdahulu turut seri 1-1 dengan Crystal Palace. – AGENSI