KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi mengejutkan peminat sukan permotoran apabila meluahkan hasrat bersara selepas gagal mempamer prestasi memuaskan musim ini.
Khairul Idham atau lebih dikenali dengan julukan KIP gagal meraih sebarang mata dalam 15 perlumbaan musim ini.
Pelumba Petronas Sprinta Racing Team itu juga berdepan kecederaan berulang di bahagian jari pada kelayakan Grand Prix (GP) Republik Czech, Ogos lalu dan membuat keputusan memotong jari kelengkeng kanan.
Selepas tamat GP Portugal akhir November lalu, kontrak KIP bersama pasukan Petronas juga tidak disambung.
“Saya tidak mahu terlibat dengan pemotoran lagi. Mahu fokus ternak lembu dan potong rumput kerana nak lakukan benda yang buat saya gembira.
“Saya sudah fikir panjang… dengan keputusan yang tidak memuaskan musim ini ada baiknya saya bersara sahaja,” katanya kepada pemberita semalam.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) Muizz Azli berkata, beliau akan berjumpa dengan pelumba muda negara itu untuk mengetahui apa yang berlaku dan bersedia membantunya.
“MAM akan berjumpa KIP pada 15 Disember ini untuk bertanya situasi sebenar.
“Dia masih muda dan merupakan pelumba yang berbakat.
“Ada juga pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
“Pihak MAM akan membantu apa sahaja yang diperlukan KIP,” katanya.
Khairul menyertai Petronas Sprinta Racing Team pada 2019 dalam kategori Moto2, tetapi selepas bergelut dengan masalah kecederaan, dia beralih pada kelas Moto3 setahun kemudian.
Sehingga hari ini, Khairul masih dinobat sebagai pelumba terbaik Malaysia dalam kejuaraan dunia apabila menjuarai gelaran Moto3 pada GP Argentina dan Jerman 2016.