KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat (PPZ), melalui beberapa produk perkhidmatannya memperuntukkan dana sebanyak RM60,500 untuk diagihkan kepada bekas atlet negara yang berdaftar dengan Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB).
Seramai 161 ahli YAKEB akan menerima bantuan tersebut dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai dan barangan asas.
“Sumbangan yang diberikan PPZ memberi gambaran menyeluruh bahawa Institusi Zakat sentiasa proaktif dan cakna dalam membantu masyarakat dari pelbagai kategori termasuklah warga komuniti sukan.
“Bagi YAKEB, kemudahan yang disediakan perlu disambut dengan baik oleh komuniti sukan di luar sana.
“Selain memudahkan untuk menunaikan tanggungjawab dalam mengeluarkan zakat ia juga menjadi platform untuk membantu para bekas atlet negara yang memerlukan,” kata YAKEB dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, dua organisasi terbabit membuat kunjungan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagi memeterai usaha sama program Jalinan Kerjasama Komuniti Sukan Khaira PPZ-YAKEB
Program tersebut merupakan inisiatif terbaru dalam usaha Yakeb membantu bekas atlet negara dengan kerjasama rakan strategiknya seperti PPZ.
“Inisiatif ini bertitik tolak dari usaha Menteri Belia dan Sukan untuk membantu meringankan beban bekas atlet negara dalam menghadapi kepayahan yang timbul akibat penularan pandemik Covid-19,” kata YAKEB.