Piala Malaysia 2018 detik terindah - Lee Tuck - Utusan Malaysia

Piala Malaysia 2018 detik terindah – Lee Tuck

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas kapten Terengganu FC (TFC), Lee Tuck berkata, beraksi dalam final Piala Malaysia 2018 antara detik terindahnya sepanjang bermain di Malaysia.

Pemain kelahiran England itu, yang bakal menyertai Pahang musim depan turut mengakui, Terengganu banyak memberi pengajaran kepadanya sepanjang dua musim.

Menjelang pembukaan musim 2021, dia memasang harapan untuk mencipta memori indah bersama pasukan baharunya musim depan, namun tidak akan melupai aura final Piala Malaysia 2018 menentang Perak.

Dalam aksi di Stadium Shah Alam itu, kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas tamat permainan sebenar, namun Perak muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti 4-1.

“Masa mula-mula dapat tahu saya tidak lagi akan bersama TFC pada musim depan, memang saya sedih sebab saya sayangkan pasukan itu dan sudah melalui macam-macam ketika bersama sejak 2018.

“Tetapi, saya enggan toleh ke belakang lagi dan mahu melangkah ke depan selepas ini, cuma macam-macam mana pun, benda yang saya tidak akan boleh lupa sudah pasti aksi final Piala Malaysia 2018.

“Walaupun kami tewas kepada Perak, suasana dan kehangatan yang dirasai selain persiapan menuju ke final itu cukup memberi kesan mendalam dalam hati saya.

“Stadium juga begitu penuh dengan penyokong dan itu yang paling saya akan ingat sampai bila-bila dan berharap kenangan seperti itu akan ada juga apabila saya beraksi bersama Pahang musim depan,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Lee Tuck ketika ini sedang meluangkan masa bersama keluarga tercinta di kampung halamannya, England sejak bulan lalu dan menyifatkan ia adalah tempoh yang sangat berharga sebelum menempuh musim 2021 bersama Pahang.

Apatah lagi, dia merasakan musim 2020 sudah cukup memberi cabaran kepadanya dan sekeluarga dalam situasi pandemik Covid-19 dan kali ini bersyukur apabila dapat membawa pulang isteri dan anaknya ke England sebelum kembali semula ke Malaysia pada Januari depan.

“Saya sangat gembira dapat berada bersama ibu bapa saya di sini, dan isteri serta anak juga rindukan mereka apatah lagi kami semua sudah mengharungi pelbagai cabaran untuk hadapi Covid-19 pada tahun ini.

“Jadi, saya tidak mahu sia-siakan masa yang ada ini, malah anak saya sudah menginjak umur setahun setengah dan dia sangat gembira apabila dapat bertemu dengan keluarga di sini.

“Cuaca di sini sangat sejuk, dan segalanya cukup sempurna untuk saya lebih bersedia memulakan musim 2021 dengan semangat baharu apabila kembali ke Malaysia pada bulan hadapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya