KUALA LUMPUR: Kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia Tenggara, Piala AFF 2020 akan dibawa ke Disember tahun depan.
Kejohanan yang sepatutnya berlangsung pada November hingga Disember tahun ini pada mulanya ditunda ke 11 April hingga 8 Mei susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
“Seperti biasa, keutamaan kami adalah kesihatan dan keselamatan semua orang yang berkaitan dengan acara tersebut.
“Oleh itu, kami telah memantau perkembangan Covid-19 baik di dalam ASEAN maupun di dunia.
“Walaupun ada hasil yang menggembirakan dalam pengembangan vaksin, kami menyedari proses persetujuan vaksin, serta praktik pengedaran dan pelaksanaan program vaksin di seluruh dunia termasuk ASEAN mengambil masa.
“Mengambil kira kesukaran untuk melaksanakan kejohanan dan banyak organisasi terkesan dengan impak Covid-19, AFF percaya dengan pendekatan dan keputusan ini akan memberi lebih masa kepada semua pihak dalam menyusun semula perancangan.
“Dengan ini, semua pihak akan menumpukan sepenuhnya kepada Piala AFF apabila dianjurkan pada Disember dan semua pasukan akan dapat membuat persiapan rapi untuk menghadapinya,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth dalam kenyataan hari ini.
Keputusan itu dibuat bagi memastikan kejohanan diteruskan dengan format penuh dimainkan di tempat sendiri dan gelanggang lawan.
“Melihat jadual bola sepak yang padat untuk tahun 2021, termasuk acara antarabangsa dan domestik yang sepatutnya diadakan pada tahun 2020.
“Bulan Disember adalah waktu yang ideal. Tarikh baru itu bermula pada 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022.
“Kejohanan akan berlangsung mengikut format penuh dan stadium dapat dipenuhi peminat untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.