Perginya legenda bola sepak - Utusan Malaysia

Perginya legenda bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Namat Abdullah kembali ke rahmatullah pada pukul 5.30 petang tadi di kediaman anaknya di Kamunting, Perak.

Menerusi Facebook Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), jenazah akan di bawa ke kediaman Allahyarham di Taman Peruda, Sungai Petani malam ini untuk ziarah dan penghormatan terakhir.

Jenazah dijangka akan disemadikan esok pagi, sebelum solat Jumaat.

“Pengurusan dan semua warga FAP dan Pulau Pinang FC mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato Namat,” kata kenyataan tersebut.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun, menjadi antara pemain bola sepak negara yang disegani atas sumbangan besarnya termasuk membantu Harimau Malaya ke Sukan Olimpik Munich 1972.

Allahyarham memulakan kerjaya dengan Marines Sports Club di Pulau Pinang, terkenal dengan rembatan deras dan lontaran ke dalam yang jauh termasuk sehingga ke dalam petak penalti sepanjang kerjayanya sebagai pemain pasukan Penjara, Pulau Pinang dan kebangsaan.

Memulakan kerjaya selaku penggempur ketika membantu Pulau Pinang menjuarai Piala Burnley pada 1965 sebelum ditukarkan sebagai bek kanan, Allahyarham mengutip pingat kemenangan Piala Malaysia selain muncul juara Pestabola Merdeka dan memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Teheran – semuanya pada tahun yang sama iaitu 1974.

Selain penampilan yang tidak dapat dilupakan di Munich 1972, Pestabola Merdeka edisi 1974 di Ipoh membawa kenangan manis buat Allahyarham kerana apabila diberi penghormatan menjulang piala selaku kapten pasukan susulan ketiadaan Datuk M. Chandran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN