KUALA LUMPUR: Pengadil dari Malaysia terus mendapat kepercayaan untuk ‘beraksi’ di pentas antarabangsa apabila tersenarai dalam tugasan Liga Juara-Juara AFC 2020 zon Timur yang sedang berlangsung di Doha, Qatar sejak 19 November lalu.
Dua pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Amirul Izwan Yaacob dan Muhammad Nazmi Nasaruddin serta penolong pengadil FIFA, Mohd. Yusri Muhamad tersenarai untuk mengendalikan aksi kelab elit Asia itu.
Amirul, 34, bertindak sebagai pengadil perlawanan Kumpulan E, Melbourne Victory menentang Beijing Guon pada 27 November lalu serta pegawai Keempat bagi tiga lagi perlawanan iaitu Beijing Guon bertemu FC Seoul (21 November), Ulsan Hyundai lawan Perth Glory (24 November) dan pusingan 16 akhir, Yokohama Marinos berdepan Suwon Samsung Bluewings pada 1 Disember lalu.
Nazmi, 30, pula menjadi pengadil perlawanan Kumpulan F, Ulsan Hyundai berdepan Perth Glory pada 24 November serta pegawai keempat dalam dua lagi perlawanan – Melbourne Victory menentang Beijing Guon (27 November) dan Yokohama F. Marinos lawan Jeonbuk Hyundai Motor pada 1 Disember.
Yusri, 41, pula menjadi penolong pengadil dalam empat perlawanan iaitu Beijing Guon lawan FC Seoul pada 21 November, Ulsan Hyundai berdepan Perth Glory (24 November), Melbourne Victory bertemu Beijing Guon (27 November) dan Yokohama Marinos berdepan Suwon Samsung Bluewings, 1 Disember.
Mereka turut diberi ‘tugasan tambahan’ mengendalikan perlawanan tunggal Kumpulan E, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Qatar menentang Bangladesh yang berlangsung di Doha pada 4 Disember lalu, yang mana Amirul bertindak sebagai pengadil, Yusri penolong pengadil dan Nazmi pegawai keempat.
Saingan Liga Juara-Juara AFC 2020 zon Timur kini memasuki peringkat suku akhir yang menyaksikan Ulsan Hyundai diundi bertemu Beijing Guon manakala Vissel Kobe bakal berdepan Suwon Samsung Bluewings esok. Kedua-dua aksi berlangsung di Stadium Al Janoub, Doha.