KUALA LUMPUR: Biarpun empat kali tersenarai dalam skuad 18 pemain namun itu belum cukup untuk pengendali Portimonense SC, Paulo Sergio menurunkan bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid.
Dengan berbaki lima bulan lagi pemain berusia 23 tahun itu bersama kelab Portugal itu, mungkin tempoh berkenaan dilihat masih panjang untuk menyaksikan Safawi membuat penampilan buat kali pertama.
Namun, jika dilihat dari aspek status Safawi atau lebih mesra di sapa Pawi yang merupakan antara pemain terbaik di Malaysia dan sering membarisi kesebe-lasan utama skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kebangsaan.
Apa yang dihadapi Pawi ketika ini nyata tidak adil buatnya yang hanya menjalani sesi latihan bersama skuad utama namun tidak pernah diberi peluang menunjukkan kemampuan, malah seolah-olah minit untuk dia beraksi di pentas Eropah terlalu mahal untuk pemain kelahiran Dungun itu.
Laman sosial kelab Portimonense terus menjadi bahan kecaman dan dihujani ratusan komen selepas skrip sama berulang apabila Safawi sekali lagi hanya berada dalam senarai simpanan ketika berdepan Vitoria Guimaraes.
Lebih perit apabila skuad itu tewas 1-0 yang menyaksikan mereka kekal dengan tujuh mata selepas sembilan perlawanan dan kini berada di kedudukan ke-15 dalam carta Liga Primeira.
Meskipun, beberapa pakar bola sepak termasuk bekas pemain, jurulatih dan Safawi sendiri meminta peminat bersabar sebelum ini, ia tetap tidak dapat menghalang peminat daripada menulis komen negatif di laman sosial kelab berkenaan.