MADRID: Lionel Messi menyelamatkan Barcelona daripada satu lagi keputusan memalukan apabila meledak gol penting ketika menang 1-0 ke atas kelab bawahan, Levante dalam aksi La Liga pagi tadi.
Real Sociedad pula kembali merampas kedudukan pendahulu liga biarpun sekadar seri 1-1 dengan Eibar.
Messi memastikan kemenangan Barca di Camp Nou dengan meledak gol 14 minit sebelum tamat permainan.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak mampu meredakan keresahan penyokong yang sebelum itu menyaksikan pasukan mereka dibenam 3-0 oleh Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara, Khamis lalu.
Skuad kendalian Ronald Koeman juga masih jauh untuk mengejar gelaran apabila menghuni tangga kelapan liga dengan sembilan mata di belakang Sociedad.
Barcelona bagaimanapun memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan berbanding kelab dari Basque itu.
Atletico Madrid kini berkongsi 26 mata dengan Sociedad dan mempunyai dua perlawanan dalam tangan, manakala Real Madrid mengekori dengan tiga mata di belakang pendahulu dan bermain kurang satu perlawanan.
“Pasukan berusaha dengan baik, mereka memberikan usaha maksimum.
“Kami masih kurang rasa yakin dengan diri sendiri, dalam permainan kami, tapi kami ada banyak peluang, dan tiada apa yang mahu saya katakan mengenai perwatakan pemain dalam perlawanan ini,” kata Koeman. – AFP