BARCELONA: Cristiano Ronaldo menyempurnakan dua sepakan penalti ketika membantu Juventus membenam Barcelona 3-0, sekali gus muncul juara Kumpulan G, Liga Juara-Juara pagi.
Bekas penyerang Real Madrid itu turut bertembung dengan seteru lamanya, Lionel Messi buat kali pertama sejak dia berpindah ke Itali pada 2018.
Kemenangan tersebut membolehkan Juventus menebus kekalahan 0-2 kepada Barcelona di laman sendiri, Oktober lalu, namun ketika itu Ronaldo tidak beraksi kerana dikuarantin akibat positif Covid-19.
Ini kemenangan pertama buat skuad bimbingan Andrea Pirlo di Camp Nou sejak 2013.
Kedua-dua pasukan yang berkongsi 15 mata sudahpun layak ke peringkat kalah mati sebelum sepak mula, namun tiga gol Juve memberikan mereka kelebihan rekod pertemuan.
“Apabila anda mempunyai keazaman yang tinggi dan memiliki ‘penembak tepat’ seperti Ronaldo, anda pasti mampu memenangi perlawanan seperti ini.
“Ia sama seperti yang kami tunjukkan dalam pertemuan domestik (mengalahkan Torino pada aksi Serie A), jika kami bersungguh-sungguh, kami mendapat keputusan diingini,” kata pertahanan Juventua, Leonardo Bonucci.
Ronaldo membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti selepas dikasari oleh Ronald Araujo.
Weston McKenzi melebarkan jurang selepas mendapat hantaran lintang Juan Cuadrado pada minit ke-20.
Ronaldo melengkapkan kemenangan menerusi penalti keduanya pada minit ke-52 selepas bola terkena tangan Clement Lenglet. – AFP