KUALA LUMPUR: Tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) menggunakan ‘Arsenal’ sebagai contoh peribahasa malang tiada datang tunggal menarik perhatian peminat bola sepak tanah air.
Lebih 1,200 komen, 5,100 tanda suka dan 2,500 perkongsian diterima apabila DBP memberi contoh ayat yang sesuai untuk digunakan dalam peribahasa tersebut di Facebook.
“Peribahasa, malang tiada datang tunggal.
“Maksud, malang yang bertimpa-timpa.
“Contoh ayat, Zul Arteta meratapi kekalahan pasukan Arsenal awal pagi tadi. Lebih malang, pemain kesayangannya yang menanduk masuk ke gawang sendiri ibarat malang tiada datang tunggal,” tulis mereka.
Gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal yang dibimbing jurulatih, Mikel Arteta dimalukan 1-0 oleh kelab kerdil, Burnley di laman sendiri semalam.
Bintang penyerang dan ketua pasukan Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol ke gawang sendiri untuk memberi kekalahan keempat berturut-turut buat Gunners di stadium Emirates.
Jaringan malang itu hadir 15 minit selepas mereka kehilangan bintang tengah, Granit Xhaka yang dibuang padang kerana mencekak leher pemain lawan.
“DBP punya troll dah level troll football cuma yang ni versi kemelayuan,” tulis pemilik akaun Saif Ad Deen.
“Malang ada datang tunggal: hampir-hampir kalah tetapi dapat mengemis selagi mampu.
“Contoh ayat: Liverpool hampir menjadi mangsa ejekkan akan tetapi dalam usaha pengemisan mereka untuk mendapatkan sebiji, sehelai, sekeping, seketul penalti maka dengan jaringan terikat satu sama. Itulah peribahasa Malang ada datang berbau sampah,” tulis Rolland Alan, yang cuba mengaitkan keputusan seri 1-1 Liverpool dan Fulham dengan peribahasa tersebut.
“Tahniah admim DBP, memikat generasi muda menjiwai bahasa dgn cara begini,” kata Wan Ee.
“Mohon Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia terus kekal konsisten membuat peribahasa hari ini disertakan dengan situasi sebenar di masa-masa akan datang terutama sekali apabila melibatkan pasukan kesayangan ramai The Reds (dibaca Liverpool),” tulis Jaafar Imran Yahya.
“Semakin banyak peribahasa serba sedikit kita belajar dari nampak gaya macam troll,” kata Fadly Rashid.
“sebagai penyokong Arsenal, saya harap admin akan ulang dengan peribahasa sesuai waktu kami kalah lagi dengan Southampton pada Khamis nanti. Rasanya dah boleh buat poster siap-siap,” tulis Ali Imran.