LONDON: Krisis Arsenal kian meruncing apabila mengalami kekalahan di tempat sendiri buat kali keempat berturut-turut selepas tumpas 0-1 kepada Burnley dalam aksi Liga Perdana pagi tadi.
Ini kali pertama Gunners kalah empat perlawanan berturut-turut di laman sendiri sejak 1959.
Biarpun cemerlang di Liga Europa, kelab London itu mengharungi saingan domestik terburuk dalam tempoh 40 tahun, sekali gus meletakkan jurulatih mereka, Mikel Arteta dalam bahaya.
Kekalahan terbaharu menyebabkan Gunners menghuni tangga ke-15 dan menghampiri zon penyingkiran.
Granit Xhaka menjadi punca kepincangan apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-58 ketika kedudukan 0-0 selepas mencekak leher pemain lawan, Ashley Westwood.
Keadaan bertambah buruk 15 minit kemudian apabila ketua pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola.
Ini kemenangan liga pertama Burnley ke atas Arsenal, sekali gus mengeluarkan mereka dari zon penyingkiran.
Bagi Arteta, tindakan Xhaka jauh lebih teruk berbanding ketika Nicolas Pepe dibuang padang kerana mengkasari lawan dalam pertemuan dengan Leeds United bulan lalu.
“Sukar diterima. Apa yang berlaku hari ini lebih teruk, malah memburukkan keadaan kami tidak menang beberapa perlawanan,” katanya. – AGENSI