BERLIN: Robert Lewandowski yang baru dinobat sebagai Pemain Terbaik FIFA meledak dua gol, termasuk pada waktu kecederaan untuk membantu Bayern Munich menumpaskan Bayer Leverkusen 2-1 dalam aksi penuh dramatik pagi tadi.
Lewandowski yang mengetepikan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk anugerah berkenaan, menjaringkan gol pada minit ke-93 bagi membolehkan juara bertahan itu menerajui Bundesliga dengan kelebihan dua mata.
“Tahun yang sangat cemerlang buat kami, saya harap kami dapat mengekalkan momentum memasuki tahun baharu.
“Ia sangat menggembirakan dapat menjaringkan gol pada saat akhir, terutama untuk meraih kemenangan penting.
“Itu membuktikan kami sentiasa dahagakan kemenangan dalam aksi seperti ini,” kata Lewandowski
Lewandowski yang sudah meledak 20 gol dalam 18 perlawanan (semua kejohanan) musim ini turut menanduk gol penyamaan sebelum rehat untuk memadam jaringan pendahuluan Leverkusen menerusi Patrick Schick.
Leverkusen menduduki tangga kedua berkongsi mata 28 mata bersama RB Leipzig, yang hanya seri tanpa jaringan ketika berdepan Cologne. – AFP