TURIN: Legenda bola sepak Itali yang membantu negara itu menjuarai Piala Dunia 1982, Paolo Rossi meninggal dunia pada usia 64 tahun pagi tadi.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi saluran televisyen sukan RAI Sport iaitu tempatnya bekerja sebagai pengulas sukan.
Rossi memenangi dua gelaran Serie A, satu Piala Eropah dan satu kejuaraan Coppa Italia sepanjang empat tahun bersama Juventus.
Punca kematiannya bagaimanapun belum diketahui.
Menurut akhbar Britain, Daily Mail, enam gol jaringannya pada Piala Dunia, 38 tahun lalu adalah detik paling diingati dalam sejarah bola sepak.
Rossi dinobat sebagai penjaring terbanyak dan Pemain Terbaik kejohanan itu, malah dia juga muncul pemenang anugerah Ballon d’Or 1982.
“Paolo Rossi sudah meninggalkan kita,” kata pengacara RAI Sport, Enrico Varriale.
Rossi yang pernah bermain dengan AC Milan dianggap antara penyerang terbaik pada zaman kegemilangannya. – AGENSI