MADRID: Ronald Koeman menyalahkan pemainnya atas kekalahan mengejut 2-1 yang dialami Barcelona di Cadiz pagi tadi.
Alvaro Negredo meledak gol kemenangan tuan rumah, sekali gus meletakkan Barca ke tangga ketujuh La Liga dan hanya tiga mata dipisahkan dari zon penyingkiran.
Koeman percaya, sikap pemainnya menjadi punca kekalahan dan jurulatih dari Belanda itu berang melihat bagaimana jaringan Negredo dilepaskan.
“Kekalahan ini sukar dijelaskan.
“Kami datang ke sini selepas mengharungi beberapa perlawanan yang bagus tetapi hari ini, babak pertama tidak berjalan baik.
“Kami bermain lebih baik pada separuh masa kedua tetapi melihat cara kami kalah, ia sukar dipercayai.
“Kami kalah kerana kesilapan yang tidak sepatutnya. Sikap yang ditunjukkan pemain tidak bagus malam ini, terutama barisan pertahanan,” kata Koeman kepada akhbar Marca. – AGENSI