ABU DHABI: Kurang dua minggu selepas Romain Grosjean terlibat dalam kemalangan ngeri di Bahrain, Kimi Raikkonen pula berdepan insiden menakutkan apabila keretanya terbakar pada sesi latihan bebas kedua menjelang Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Abu Dhabi hari ini.
Pelumba Finland itu sedang memecut di litar ketika kereta Alfa Romeo secara tiba-tiba terbakar di bahagian belakang.
Ketika sesi latihan di litar Yas Marina, Raikkonen terpaksa memberhentikan kereta dan pantas keluar dari kenderaan selepas diarahkan pasukannya untuk menyelamatkan diri.
Krew pasukan dari Alfa Romeo menjerit menerusi radio komunikasi: “Api besar. Cepat keluar dari situ, segera!.”
Bantuan bagaimanapun tiba dengan pantas dan kebakaran berjaya dipadamkan.
Raikkonen, 41, yang terkenal dengan gelaran ‘Ice Man’ turut menunjukkan ketenangan apabila menggunakan pengalamannya mengambil alat pemadam kebakaran dan membantu memadam api daripada merebak.
Dia tidak mengalami sebarang kecederaan, namun insiden tersebut menyebabkan bendera merah dikibar selama 10 minit bermakna Raikkonen mungkin berdepan penalti pada perlumbaan esok. – AGENSI