LONDON: Khabib Nurmagomedov mungkin membuat kemunculan semula di pentas Ultimate Fighting Championship (UFC), namun tidak berminat untuk kembali jika lawannya Conor McGregor mahupun Dustin Poirier.
Semalam, juara dunia lightweight itu mengadakan sidang akhbar di Rusia berhubung pelancaran Eagle Fighting Championship, sebelum ditanya tentang kemungkinan akan kembali bertarung dalam UFC.
Jaguh sukan seni bela diri campuran (MMA) itu mengumumkan persaraannya selepas menewaskan Justin Gaethje, Oktober lalu namun seminggu selepas itu Presiden UFC, Dana White berkata, dia yakin Khabib akan kembali bertarung sekurang-kurangnya sekali.
White bercadang untuk bertemu Khabib di Abu Dhabi dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.
Ketika peluang untuk menyaksikannya membuat kemunculan semula, Khabib bagaimanapun pantas menepis untuk membuat pertarungan semula dengan McGregor atau Poirier, yang masing-masing pernah ditumbangkan dua tahun lalu.
“Pertama, mungkin dia akan menawarkan sejumlah wang besar. Untuk apa? Saya telah menewaskan mereka, mengapa saya perlu mengulanginya semula?
“Ya, hanya kerana wang. Tiada apa yang menarik selain itu dalam sukan ini.
“Saya telah cekik mereka, saya menang pertarungan itu. Seperti peribahasa mengatakan, kuda tidak akan berlari sehingga keldai menang.
“Keldai tidak perlu mengambil bahagian dalam pertandingan lumba kuda. Saya tidak berminat untuk menentang mereka.
“Bayangkan jika UFC menawarkan anda AS$100 juta (RM407.25 juta). Ia akan menimbulkan masalah.
“Bagaimanapun tiada semangat kesukanan dalam di sini,” kata Khabib. – AGENSI