Kerteh FC bakal jadi kelab komuniti paling 'advance' - Utusan Malaysia

Kerteh FC bakal jadi kelab komuniti paling ‘advance’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERTEH: Syarikat INKA Creative Sdn. Bhd. membuat pelaburan dalam kelab bola sepak komuniti, Kerteh FC melalui pembelian saham KAL Services Sdn. Bhd. sebanyak 10 peratus.

Pembelian saham itu adalah sebahagian daripada perjanjian untuk membantu Kerteh FC dari segi strategi, pemasaran dan penjenamaan kelab.

Antara inisiatif INKA Creative adalah membentuk imej baharu Kerteh FC sejajar dengan perkembangan industri bola sepak negara dan antarabangsa.

Ini akan membuka ruang kepada Kerteh FC untuk menginovasi pengurusan pasukan bola sepak ke tahap lebih tinggi serta menjadi peneraju revolusi penjenamaan dan imej kelab komuniti di Malaysia.

“Dalam era Covid-19, kita akan melihat bagaimana teknologi digital memainkan peranan penting dalam memberi penambahbaikan perniagaan, peningkatan pengalaman pengguna dan kepintaran proses untuk menghasilkan perniagaan lebih menguntungkan. Kelab amat memandang serius akan kepentingan ini.

“Kelab juga mengucapkan terima kasih kepada INKA Creative, yang menaruh kepercayaan kepada kami dalam pemilikan sebahagian saham kelab,” kata Presiden Kerteh FC, Mohd. Razeman Mat Nashim dalam satu kenyataan hari ini.

INKA turut berperanan memberi latihan dan mengurus kakitangan Kerteh FC bagi menghasilkan kerja-kerja reka bentuk kreatif digital kelab di laman sesawang, media sosial dan aset-aset di bawah seliaan kelab.

“Kami percaya dengan kebolehan dan potensi Kerteh FC sebagai kelab bola sepak komuniti yang mampu mengubah pandangan dan persepsi peminat bola sepak terhadap kelab-kelab tempatan.

“Bersama INKA Creative, Kerteh FC akan membangun seiring dengan visi dan wajah baru. Adakah anda sudah bersedia untuk era baru bola sepak negara?,” kata Pengarah  INKA Creative, Al-Amin Abd. Moin.

INKA Creative telah banyak terlibat dalam pembinaan jenama pelbagai syarikat. Mereka pernah menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan dan antarabangsa dalam aspek penjenamaan dan pemasaran secara komprehensif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya