MANCHESTER: Ilkay Gundogan menyalahkan jadual padat sebagai punca Manchester City gagal beraksi di bawah keupayaan sebenar selepas seri 1-1 dengan West Brom dalam aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi.
Gundogan berjaya memecah kebuntuan selepas setengah jam perlawanan, namun jaringan sendiri Ruben Dias sebelum tamat babak pertama memberi tamparan buat The Citizens yang agak bergelut di depan pintu gol lawan.
City hanya mencatat lima kemenangan daripada 12 perlawanan liga musim ini, pencapaian yang sangat berbeza ketika mereka mengumpul 198 mata untuk menjuarai liga duakali di bawah bimbingan Pep Guardiola pada musim 2017/18 dan 2018/19.
Musim lalu ketika menamatkan kempen di tempat kedua di belakang Liverpool, City berjaya meledak 102 gol liga, namun kecemerlangan itu gagal diulangi ketika berdepan West Brom.
“Kami pernah melalui tahun cemerlang di mana kami berjaya mempamerkan aksi bola sepak terbaik, jadi kami meletakkan sasaran yang tinggi.
“Semua pasukan gergasi di seluruh Eropah bergelut dengan jadual yang sangat padat dan keadaan dijangka lebih sukar minggu depan.
“Kami bukannya mesin, namun kami juga tahu bila kami tidak memberikan persembahan terbaik,” kata Gundogan.
City mampu merapatkan jurang kepada tiga mata di belakang pendahulu, Tottenham dan Liverpool, yang akan berentap awal pagi esok.
Bagaimanapun anak-anak buah Guardiola hanya berpuas hati di tempat kelima menerusi perbezaan gol, lima mata dibezakan dengan pendahulu liga.
“Kami sepatutnya menang dalam perlawanan ini tapi kami melepaskan peluang.
“Ia masih tidak terlalu jauh dengan pendahulu liga namun anda harus mencatatkan kemenangan.
“Kita baru memasuki awal Disember dan banyak lagi perlawanan perlu ditempuhi,” kata Guardiola. – AFP