KUANTAN: Kemelut berhubung bayaran gaji bekas pemain import Pahang, Ivan Carlos akhirnya selesai.
Baki bayaran bagi keseluruhan gaji dan bonus serta semua perbelanjaan melibatkan pemain import itu telah dibayar oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
“Pahang mengambil tanggungjawab membayar tunggakan gaji dan sebagainya kepada Ivan Carlos hari ini,” Kata pengurus Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, PBNP bukan tidak mahu membayar atau melewatkan pembayaran gaji pemain itu.
Masalah kelewatan berlaku kerana terpaksa melalui pelbagai proses selepas Carlos meminta untuk dibayar melalui akaun bank di luar negara.
Biasanya gaji pemain akan dibayar menerusi bank tempatan atau mereka boleh datang sendiri ke pejabat PBNP.
Isu kelewatan gaji Carlos menjadi tular di media sosial selepas pemain kelahiran Brazil itu memberi peringatan kepada PBNP agar melunaskan baki gajinya menerusi Facebook.
Mohammed Suffian berharap isu melibatkan Carlos dan pengurusan PBNP tidak menggugat keyakinan pemain lain untuk bersama Pahang.
“Kami berharap isu gaji tidak akan menimbulkan salah faham kepada mereka yang berminat untuk mewakili Pahang musim hadapan,” katanya.
Beliau yakin dengan selesainya kemelut itu akan menambah kepercayaan bakal pemain terutama import untuk menyarung jersi Sri Pahang musim hadapan.
Tok Gajah yang menghuni tangga kelapan dalam Liga Super musim lalu antara pasukan yang belum mengumumkan barisan penuh pemain.
Begitupun, misi besar dapat dilihat apabila sudah mengikat khidmat bekas bintang Terengganu FC, Lee Tuck.