Harimau Malaya pantau ramai 'import' - Utusan Malaysia

Harimau Malaya pantau ramai ‘import’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusof Mahadi mendedahkan semua tonggak import dalam Liga Malaysia (Liga M) yang telah bermain tiga tahun ke atas, secara anutomatik menjadi calon sebagai pemain naturalisasi negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM berkata, bukan Endrick Dos Santos dan Gonzalo Cabrera sahaja tetapi terdapat ramai lagi pemain import yang menarik perhatian badan induk bola sepak negara itu.

“Memang dua pemain ini berada dalam senarai pemerhatian kita untuk calon-calon naturalisasi tetapi pada akhirnya keputusan akhir di tangan pemain itu sendiri sama ada setuju atau tidak.

“Kita bukan hanya mempunyai dua calon ini tetapi beberapa calon lain yang dipantau. Boleh saya katakan semua pemain import yang beraksi di Malaysia melebihi tiga tahun adalah calon naturalisasi.

“Bila sudah memasuki empat tahun lebih, baru jawatankuasa akan bersidang dengan mengemukakan cadangan sebelum kita menilai kriteria keseluruhan dan berhubung dengan pemain itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

MOHAMADOU Sumareh pemain naturalisasi pertama Malaysia.

Ketika ini, skuad negara memiliki dua pemain dinaturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi, manakala
Guilherme de Paula pula masih menunggu jawapan daripada Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, Yusof turut menegaskan prestasi, usia, sikap dan beberapa kriteria turut memainkan peranan sebelum FAM menawarkan tawaran kepada pemain itu.

“Kalau tahun ini prestasi mereka baik tetapi tahun depan berdepan masalah kecederaan serius mungkin kita perlu nilai semula. Faktor umur juga penting kerana kalau boleh kita nak guna untuk jangka masa panjang.

“Lee Tuck juga sedang dipantau rapat, selain Romel Morales tapi sekali lagi keputusan akhir bergantung kepada pemain itu sama ada nak terima tawaran kita atau tidak,” jelasnya.

Endrick beraksi bersama Pulau Pinang, manakala Cabrera pula menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga M musim 2020. kedua-dua pemain sudah lebih empat tahun beraksi di liga tempatan.

Endrick akan melengkapkan tahun kelima pada 2022 nanti manakala Cabrera tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN