Harimau Malaya bergaya dengan jersi baharu - Utusan Malaysia

Harimau Malaya bergaya dengan jersi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas setahun tanpa sebarang aksi, Harimau Malaya sedia untuk kembali dengan bergaya setelah menerima jersi baharu, dan buat kali pertama sejak 2007 jersi utama tampil dengan reka bentuk berkolar.

Majlis pelancaran jersi Nike edisi 2020-2022 iberlangsung secara maya menerusi video pengenalan yang disiar serentak di semua media sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube hari ini.

Ia menampilkan 10 pemain kebangsaan terdiri daripada kapten, Aidil Zafuan Abd. Radzak, Shahrul Saad, Syahmi Safari, La’Vere Corbin-Ong, Brendan Gan, Nor Azam Abdul Azih, Syamer Kutty Abba, Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Farizal Marlias, selain ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Sebagai simbolik pelancaran, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjadi individu pertama menerima kedua-dua jersi ‘home’ dan ‘away’ daripada Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

HAMIDIN Mohd. Amin (kiri) menjadi penerima pertama jersi baharu Harimau Malaya.

Sejak Nike menaja jersi pasukan kebangsaan, semua tujuh reka bentuk jersi ‘home’ sebelum ini iaitu pada 2007, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018 tidak berkolar.

Jersi kedua atau ‘away’ turut menampilkan kelainan apabila buat kali pertama tiada warna biru, putih atau merah seperti kebiasaan sebelum ini.

Menurut Hamidin, jersi ‘home’ yang baharu  biarpun ringkas, namun tampak lebih kemas dengan reka bentuk berkolar manakala pemilihan warna baharu bagi jersi ‘away’ pula  akan memastikan semangat Harimau Malaya kekal membara.

“Pasukan Harimau Malaya pasti akan lebih garang selepas ini kerana bukan saja jersi ‘home’, malah jersi ‘away’ juga menampilkan warna tradisi kita iaitu hitam dan kuning.

“Ini bermakna, dalam kesemua aksi pasukan kebangsaan nanti, semangat dan aura Harimau Malaya akan sentiasa bersama  pemain dan penyokong.

“Saya yakin apabila pemain memakainya nanti, mereka akan mendapat semangat baharu untuk tampil dengan aksi yang lebih bertenaga di atas padang, seterusnya meraih lebih banyak kemenangan dan kejayaan buat pasukan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

“Terima kasih juga kepada Nike yang masih terus bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 13 tahun ini (sejak 2007),” kata Hamidin.

Tanpa sebarang aksi sepanjang tahun ini,  Harimau Malaya yang kini di kedudukan 153  dalam ranking FIFA akan kembali meneruskan saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh pada Mac depan, selain Piala AFF 2020 yang ditunda ke April dan Mei 2021.

Jersi baharu pasukan kebangsaan sudah boleh didapati mulai hari ini di outlet Nike terpilih serta secara atas talian di www.nike.com/my dan www.al-ikhsan.com.

Penjualan secara fizikal di 24 outlet terpilih Al-Ikhsan Sports dan semua outlet Football Republic di seluruh negara bermula pada 11 Disember.

Jersi ‘home’ dan ‘away’ masing-masing dijual pada harga RM299.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya