KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap atlet para turut diberi perhatian jika cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu memperluaskan skim pencen kepada atlet yang layak ke Sukan Olimpik diluluskan.
Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, cadangan memperluaskan skim pencen sesuatu yang baik tetapi atlet paralimpik juga layak menikmati ganjaran kerana menyumbang pingat dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Bukan saya mahu berbangga atau membezakan tetapi siapa yang banyak bagi pingat dan harumkan nama negara?
“Jadi, tidak kisahlah atlet normal atau para, harap kerajaan tidak pilih kasih dan saya mahu perkara ini diberi perhatian.
“Jika mahu berbelanja, biar sama rata. Kita patut contohi negara maju, tiada diskriminasi dan double standard,” katanya.
Beliau ditemui selepas menerima sumbangan 250 pek barangan keperluan asas daripada Kumpulan Jakel untuk diberi kepada atlet para khususnya yang tiada dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) dan terkesan akibat pandemik Covid-19 di sini hari ini.
Inisiatif itu dicetuskan oleh Presiden Orang Kurang Upaya (OKU Sentral), Senator Ras Adiba Radzi.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican terdahulu memberitahu, KBS merancang memperluaskan skim pencen kepada atlet yang layak ke Sukan Olimpik.