LONDON: Fulham keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris selepas mengejutkan Leicester 2-1 di Stadium King Power pagi tadi.
Anak-anak buah Scott Parker mencatat kemenangan kedua liga musim ini hasil jaringan Ademola Lookman minit ke-30, diikuti penalti Ivan Cavaleiro lapan minit kemudian.
Fulham gagal memanfaatkan tiga daripada empat sepakan penalti mereka sebelum ini, tetapi Cavaleiro memastikan tendangan yang diambil kali ini menemui sasaran.
Harvey Barnes meledak gol tunggal Leicester empat minit sebelum tamat perlawanan.
Kemenangan ini amat bermakna buat Fulham, dan Lookman meraikan jaringannya dengan memegang jersi Senegal milik Papa Bouba Diop, bekas pemain Fulham yang meninggal dunia pada usia 42 tahun, Ahad lalu.
Leicester berpeluang melonjak ke tangga kedua liga sekiranya menang, tetapi kini kekal di tangga keempat, tiga mata di belakang Tottenham selepas kekalahan liga kedua berturut-turut. – AFP