KUALA LUMPUR: Bekas pertahanan kiri Pahang, R. Dinesh menjadi pemain terkini menyertai Selangor bagi musim Liga Malaysia (Liga -M) 2021.
Pemain kelahiran Setapak yang memiliki kepantasan larian serta kawalan bola kemas itu memiliki pengalaman luas termasuk pernah menjulang kejuaraan Piala AFF di Myanmar.
Dia sebelum ini menyertai Pahang sejak 2016 dan membuat 16 penampilan selama empat musim bersama gergasi Pantai Timur itu.
Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner percaya, Dinesh adalah pemain terbaik untuk melengkapkan persiapan pasukan menjelang saingan musim baharu.
“Dinesh pemain muda yang berpengalaman dalam Liga Super. Saya yakin dia akan membantu Selangor di posisi pertahanan kiri atau sayap kiri dengan kawalan bola cemerlang.
“Kami gembira kerana ada pilihan di posisi sayap kiri selain Zikri Khalili untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan K. Prabakaran yang tamat kontrak bersama pasukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dinesh merupakan pemain baharu menyertai skuad itu selepas Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Tim Huebach.
Sementara itu, Dinesh menyuarakan rasa gembiranya untuk menyarung jersi The Red Giants musim hadapan.
“Saya tidak sabar untuk beraksi bersama Selangor musim hadapan dan saya akan cuba menyesuaikan diri bersama pasukan secepat mungkin,” katanya.