KUALA LUMPUR: Baru berusia 15 tahun, Celine Chuang sudah memahat sejarah tersendiri apabila muncul pemain bola sepak wanita pertama negara beraksi di Eropah dengan menyertai gergasi Jerman, Bayern Munich.
Celine menyarung jersi pasukan kedua, skuad bawah 17 tahun (B-17) Bayern sejak Julai lalu selepas beberapa kali mencuri tumpuan sepanjang beraksi buat pasukan remaja kebangsaan.
Dia berkongsi minat dan keghairahan terhadap bola sepak selepas menyaksikan kakak serta abangnya beraksi.
“Saya memulakan latihan secara serius lebih kurang empat tahun lalu ketika berusia 11 tahun bersama Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB) di Pulau Pinang,” kata pemain sayap itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.
Nama Celine mula mendapat perhatian dalam kalangan penyokong di Jerman selepas menjaringkan satu gol untuk buat skuad lelaki B-15 Wacker Munchen e.V, selain menjaringkan gol bersama pasukan kedua kedua B-17 wanita Bayern.
Dia sebelum itu meledak gol antarabangsa pertamanya buat skuad wanita remaja Malaysia dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-15 2019 selepas menewaskan Kemboja 2-1 di Chonburi, Thailand.
Kehidupan Celine berubah apabila keluarganya membuat keputusan untuk berhijrah ke Jerman bagi menemani abangnya yang menyambung pelajaran di Munich.
Bercita-cita untuk menjadi pemain profesional dalam Liga Wanita Jerman (Frauen-Bundesliga) serta Piala Dunia, Celine mengambil keputusan untuk menghadiri sesi pemilihan bersama kelab Bavaria itu Februari lalu.
“Segala usaha saya selama ini ternyata berbaloi apabila diumumkan antara 10 pemain baharu yang terpilih untuk menyertai pasukan kedua, skuad wanita B-17 Bayern Munich.
“Saya juga bersyukur apabila diberi peluang untuk beraksi bersama skuad lelaki FC Wacker Munchen e.V,” katanya.
Celine sebelum ini pernah menjalani latihan bersama skuad lelaki B-13 dan B-15 di Thailand ketika menghadiri Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) Cruzeiro di Phuket selama dua tahun.
Berkongsi pengalaman empat bulan berlatih di Jerman, Celine berkata, pada awalnya dia mengambil masa untuk membiasakan diri berlatih dalam cuaca sejuk selain perbezaan bahasa.
“Walaupun perlu berdepan pelbagai cabaran, komuniti di sini sangat ramah dan mengalu-alukan kedatangan kami. Saya sudah dapat menyesuaikan diri selepas menetap di sini sejak Jun lalu.
“Bagaimanapun kami kini hanya menjalani latihan secara online (dalam talian) selepas pertandingan dan liga dibatal serta ditangguh kerana pandemik Covid-19,” ujarnya.