LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata, mendengar kembali sorakan penyokong di Anfield membuatkan bulu romanya meremang ketika juara Liga Perdana Inggeris itu menundukkan Wolverhampton 4-0 pagi tadi.
Reds tidak berpeluang beraksi di depan penyokong sejak menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan liga, Jun lalu.
Bagaimanapun, mereka menebus kerinduan dengan kemenangan selesa yang diiringi nyanyian You’ll Never Walk Alone oleh 2,000 penyokong.
Mohamed Salah membuka jaringan tuan rumah pada pertengahan babak pertama, sebelum Georginio Wijnaldum, Joel Matip dan gol sendiri Nelson Semedo mengesahkan kemenangan selesa Liverpool.
“Permainan kami dan suasana di stadium amat indah, ia membuatkan bulu roma saya meremang.
“Mereka mula menyanyikan You’ll Never Walk Alone, sangat indah. Saya tidak tahu untuk gambarkan…Rasa cukup hebat.
“Kami tidak sabar untuk kembali seperti biasa. Saya tidak rasa kami menghargai situasi seperti ini sebelumnya. Ia amat menyentuh perasaan,” kata Klopp.
Kemenangan membolehkan Liverpool berkongsi 24 mata bersama pendahulu, Tottenham dan hanya dipisahkan oleh perbezaan jaringan. – AFP