KUALA LUMPUR: Industri bola sepak Asia yang terkesan akibat Covid-19 digesa kekal muafakat bagi memastikan kelangsungan sukan itu khususnya menempuh cabaran 2021, kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Dalam kenyataan hari ini, Hamidin yang juga ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, AFC sebagai badan induk bola sepak di Asia akan terus bersama dengan ahli gabungannya, memandangkan rantaian Covid-19 sukar untuk diputuskan sepenuhnya.
Beliau berkata, ahli gabungan AFC terutama negara terjejas teruk akan menerima sokongan, terutama bantuan kewangan.
“Demi keselamatan semua pihak, AFC menunda kebanyakan saingan tahun ini, malah terdapat kejohanan dibatalkan. AFC juga konfederasi pertama mengambil langkah menunda perlawanan bagi mengekang Covid-19.
“Berdasarkan senario terkini, industri bola sepak di sesetengah negara Asia, akan terus berdepan cabaran utama yang menuntut kita terus bekerjasama dalam menangani krisis ini,” katanya.
Semalam, Hamidin menyertai Kongres AFC ke-30 secara maya, yang dipengerusikan Presiden AFC, Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa.
Pada kongres itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino dalam ucapannya berkata, FIFA mampu menyalurkan bantuan diperlukan kepada negara anggota sejak bermulanya usaha mengekang pandemik Covid-19.
Infantino turut menekankan perpaduan dan solidariti adalah penting, untuk memastikan kelangsungan bola sepak terutama dalam usaha menyaksikan sukan yang memiliki peminat terbesar di dunia kembali normal, pada tahun 2021.
Dalam pada itu, kongres tersebut meluluskan dan menerima permohonan Persatuan Bola Sepak Kepulauan Mariana Utara sebagai anggota penuh AFC yang ke-47, selain meluluskan laporan kewangan 2019 serta belanjawan 2020 dan pindaan Statut AFC.