SEVILLE: Olivier Giroud meledak empat gol untuk membantu Chelsea membelasah Sevilla 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara pagi tadi.
Penyerang berusia 34 tahun itu muncul pemain tertua meledak hatrik dalam saingan kelab elit Eropah sejak legenda Hungary, Ferenc Puskas melakukannya bersama Real Madrid ketika menentang Feyenoord pada 1965.
Dia juga pemain pertama menjaringkan empat gol dalam Liga Juara-Juara sejak Cristiano Ronaldo menembusi gawang Malmo lima tahun lalu.
Kedua-dua pasukan sudahpun layak ke peringkat kalah mati, dan Giroud yang jarang diturunkan dalam kesebelasan utama menggegar gawang dengan kaki kiri, kaki kanan serta kepala, selain menyudahkan penalti untuk melonjakkan Chelsea ke tangga teratas Kumpulan E.
“Memahat nama dalam sejarah kelab sangat istimewa, saya bangga membantu pasukan mencapai kemenangan dan meledak empat gol,” kata Giroud.
Penyerang Perancis itu yang hanya membuat penampilan kedua dalam skuad utama musim ini menghantar mesej jelas kepada pengurusnya, Frank Lampard yang lebih banyak memberi kepercayaan kepada
Timo Werner dan Tammy Abraham.
“Bagi saya masa nikmati detik indah malam ini dan selepas itu kami akan rehat dulu,” kata Giroud ketika ditanya harapannya untuk aksi menentang Leeds United dalam saingan Liga Perdana Inggeris Sabtu ini.
Lampard kini berpeluang merehatkan beberapa tonggak utama apabila bertemu Krasnodar dalam aksi terakhir di Stamford Bridge minggu depan. – AFP