KUALA LUMPUR: Pemain profesional, Nur Amirul Afandi enggan melepaskan peluang untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2021 Hanoi selepas penganjur temasya tersebut bercadang mempertandingkan FIFA Online 4 buat julung kali.
Juara Asia Tenggara tiga kali itu berkata, dia bersama pasukannya, Team Haq berhasrat membuat demikian selepas mendapat perkhabaran permainan video bola sepak itu akan dimainkan di Sukan SEA pada 21 November hingga 2 Disember tahun depan.
“Memang ada perancangan dan sasaran untuk beraksi di Sukan SEA dan kami memang sedang membuat persediaan untuk kelayakan bagi mewakili Malaysia.
“Buat masa ini penganjur belum memutuskan sama ada format ‘1vs1’ atau ‘3vs3’, terpulang kepada penganjur.
“Bagaimanapun saya rasa mungkin di Sukan SEA ‘3vs3’ sebab masa di Sukan Asia 2018 di Jakarta, PES (Pro Evolution Soccer) menggunakan ‘3vs3’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, Nur Amirul atau nama samarannya AmTuah berkata, Thailand mampu menjadi pencabar utama untuk meraih pingat emas memandangkan mereka mempunyai liga rasmi dalam FIFA Online 4.
“Yang membuatkan mereka mempunyai kelebihan juga adalah pasukan bola sepak di sana membayar gaji kepada pemain profesional FIFA Online ini untuk mewakili kelab mereka.
“Mungkin daripada segi liga kita agak ketinggalan, tetapi berdasarkan pengalaman dan teknikal kami masih boleh beri tentangan sengit,” katanya.