KUALA LUMPUR: Dua beradik di akademi The Next Generation Sports (TNGS), Amar Makruf dan Anas Nadawi Shahruddin berpeluang menyertai skuad bawah 19 tahun (B-19) liga divisyen dua, tiga dan empat Sepanyol jika berjaya menambat hati pencari bakat di sana.
Menurut bapa mereka, Shahruddin Mat Dali, kedua anaknya terpilih mengikuti program pembangunan TNGS di Valencia selepas Amar menghubungi akademi itu menerusi Instagram pada Januari tahun ini.
Katanya, mereka berlepas ke Valencia 26 November lalu dengan perbelanjaan penginapan, makanan dan pengangkutan ditanggung sendiri, manakala selebihnya seperti sesi latihan, kelas dan perlawanan ditaja TNGS.
“Anas dan Ammar berjaya terpilih ke akademi itu dan akan menjalani latihan di sana selama tiga hingga tujuh bulan.
“Jika ada rezeki, mereka mungkin berpeluang menyertai pasukan divisyen dua, tiga atau empat di Sepanyol.
“Pada awalnya, TNGS mengikuti saluran Youtube Amar Anas selepas Amar menghubungi akademi tersebut pada Januari 2020.
“Kemudian pada April, TNGS menghubungi saya menerusi aplikasi Zoom membincangkan tentang pelan kedua anak saya, sebelum mempelawa mereka mengikuti pembangunan bola sepak di Valencia.
“Setelah lebih seminggu di sana, mereka telah mengikuti dua perlawanan,” kata Shahruddin, 55, kepada Utusan Malaysia semalam.
Amar, 18 sebelum ini pernah memenangi anugerah pemain terbaik dan penjaring gol terbanyak dalam Liga 1Malaysia Connecting Communities (1MCC) 2018.
Anas, 16 pula antara lima yang terpilih mewakili Malaysia dalam Projek Impian ASEAN di Osaka, Jepun pada tahun lalu.
Dalam Projek Impian ASEAN, Anas berpeluang berguru bersama kelab Liga Jepun, Cerezo Osaka dan turut beraksi bersama pemain muda dari Thailand, Myanmar serta Jepun.