ALOR SETAR: Legasi ditinggalkan bapa pembangunan bola sepak Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil dilihat kembali menyinari pasukan bola sepak negeri ini apabila logo Kedah Darul Aman (KDA) FC yang diumumkan semalam mirip kepada logo ciptaan legenda itu.
Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor, logo baharu yang diperkenalkannya itu adalah hasil ciptaan salah seorang penyokong pasukan ‘hijau kuning’ yang dipilih daripada 900 penyertaan diterima Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum ini.
“Logo ini telah melalui peringkat tapisan oleh beberapa jawatan kuasa terlibat. Penciptanya yang dikenali dengan nama ‘Ku Basri’ akan menerima hadiah berjumlah RM5,000 seperti dijanjikan sebelum ini.
“Dalam isu pemilihan logo ini, sudah tentu kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Namun kita telah melaksanakan pemilihan dan jawatan kuasa bersetuju bahawa logo ini adalah yang terbaik,” katanya.
Beliau memperkenalkan logo tersebut pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Darulaman FC, Khamal Idris Ali serta Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Radhi Mat Din.
Selain memaparkan imej bola sepak serta bunga alamanda yang cukup sinonim dengan logo lama diperkenalkan Ahmad Basri pada 1988, perkataan ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’ diilhamkan Ahmad Basri yang sehingga kini masih dianggap sebagai kata-kata keramat pasukan, turut tercetak pada logo baharu tersebut.
Sementara itu Muhammad Sanusi yang juga Presiden KFA berkata, senarai pemain pasukan KDA FC akan diumumkan pada 15 Januari depan menerusi satu majlis yang akan dimaklumkan perinciannya kemudian.
Menurutnya, pasukan musim depan dijangka tampil dengan aksi lebih mantap berbanding musim ini namun pembiayaannya dijangka lebih kecil daripada musim ini ekoran penyusunan semula struktur gaji dan elaun diperolehi anggota pasukan.
“Insya-Allah, kita menetapkan sasaran untuk menjadi pasukan terkuat bagi memenangi semua pertandingan dalam Liga Malaysia.
“Kita akan pastikan peruntukan pasukan tidaklah sampai ke angka RM30 juta seperti musim ini. Tetapi itu tidaklah bermakna peruntukan diletakkan terlalu kecil kerana kita tetap mempunyai matlamat untuk menyediakan pasukan terkuat,” tambahnya.