Zainal serah nasib kepada Melaka - Utusan Malaysia

Zainal serah nasib kepada Melaka

ZAINAL ABIDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan menyerahkan masa depannya bersama skuad Sang Kancil kepada pihak pengurusan selepas gagal membantu pasukan mara ke peringkat lebih tinggi dalam kempen Piala Malaysia tahun ini. 

Meskipun gembira sepanjang memimpin Melaka United selama dua musim, Zainal mengakui, tiada alasan yang boleh dikemukakan kepada prestasi turun naik yang ditampilkan pasukan pada tahun ini.

“Memang kita ada terumbang-ambing sedikit sepanjang musim ini terutama berdepan saingan liga (Liga Super) yang pendek dan sebab itu kita mencuba beberapa taktikal, ada yang menjadi dan ada yang tidak.

“Apa selepas ini? Saya rasa saya nak berehat dululah. Saya serahkan segala-galanya kepada pihak pengurusan untuk pasukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat kelmarin.

Dalam pertemuan itu, Melaka United tewas tipis 1-2 kepada Selangor yang menyebabkan impian untuk mereka melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir tidak dapat diterjemahkan.

Zainal berkata, kekalahan itu bukanlah hadiah hari jadi yang diinginkannya pada hari ini, namun tetap memuji semangat yang ditunjukkan pemain untuk mencari gol kemenangan. 

 

PEMAIN tengah Melaka United, Romel Morales (kanan) cuba menghalangSean Eugene Selvaraj dari Selangor dalam pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput kelmarin. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

“Saya impikan hadiah hari jadi yang terbaik, tetapi kita tidak bernasib baik namun saya puas hati dengan semangat pasukan. Selepas mendapat gol pertama, kita menguasai permainan dalam 25 minit terakhir, namun kegagalan mengambil peluang terhidang membuatkan kita tidak berjaya,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Zainal turut menepis spekulasi mengaitkan aksi hambar Melaka United musim ini berpunca daripada masalah gaji. 

“Tiada kaitan dengan prestasi kerana anda sendiri boleh lihat pemain bertungkus-lumus hingga penamat musim,” katanya lagi. 

Sementara itu, jurulatih sementara pasukan Selangor, Michael Feichtenbeiner berkata, keadaan padang yang licin membataskan pergerakan pemainnya dan menyebabkan mereka terpaksa bermain dengan berhati-hati sepanjang masa.

“Saya amat gembira dengan kemenangan malam ini yang amat penting bagi pertandingan kalah mati, kami sebenarnya terlepas banyak peluang baik dalam kotak penalti lawan tetapi jaringan tunggal pada babak pertama memberi keyakinan kepada pasukan.

“Namun, pada penghujung separuh masa kedua, kami terpaksa bermain corak bertahan walaupun bukan itu gaya permainan Selangor tetapi kedudukan mendahului 2-1 harus dikekalkan sehingga wisel penamat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya