LUMUT: UiTM menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia apabila menumpaskan Kelantan 3-2 dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini malam ini.
UiTM yang beraksi sebagai pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendahului Kelantan menerusi tandukan Muhamad Arif Mohamed Anwar yang menerima hantaran bola lintang Rabih Ataya dari sebelah kanan pada minit ke-12.
UiTM mengukuhkan kedudukan tiga minit kemudian apabila Muhamad Rafie Mat Yaacob pula mudah menolak masuk bola hantaran leret Gustavo Almeida Dos Santos, juga dari sebelah kanan untuk UiTM dua gol mengatasi Kelantan.
Namun, Kelantan bangkit merapatkan kedudukan apabila Muhammad Danial Ashraf Abdullah merembat masuk bola hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-61.
Dua minit kemudian, kedudukan terikat 2-2 apabila Muhammad Danial Asyraf sekali lagi meledak gol untuk pasukan Kelantan setelah mendapat hantaran Mohamad Khairul Rizam Che Soh.
Muhamad Arif muncul wira UiTM apabila menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-67 menerusi sepakan gunting yang menerjah gawang lawan selepas menerima hantaran Rabih Ataya.
UiTM berjaya mempertahankan kedudukan mendahului 3-2 sehingga wisel penamat untuk memastikan slot ke suku akhir Piala Malaysia. – UTUSAN ONLINE