LONDON: Bekas penjaga gol Liverpool, David James percaya, Reds beraksi lebih baik tanpa Mohamed Salah, jadi tidak salah jika pemain itu dijual kalau mereka mendapat harga yang sesuai.
Buat kali pertama musim ini, Liverpool beraksi tanpa bintang Mesir itu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu selepas Salah diuji positif Covid-19.
Penggantinya, Diogo Jota meledak gol dalam perlawanan keempat berturut-turut untuk membantu Reds menundukkan Leicester 3-0.
Sebelum ini timbul spekulasi Liverpool akan memisahkan trio serangan mereka dan James berasakan sekarang waktu terbaik untuk Salah meninggalkan Anfield.
Ketika ditanya sama ada Real Madrid destinasi terbaik untuk Salah, James berkata: “Jika kena dengan harganya, mana-mana pemain pun akan dijual. Ia bergantung kepada harga.
“Jika Salah ke Manchester City, saya tidak fikir itu bagus untuk Liverpool. Kalau dia ke liga lain dan negara berbeza, ia lebih sesuai.
“Saya tidak fikir Liverpool terlalu bergantung kepada Salah dan ia bagus buat Jurgen Klopp.”
Bagaimanapun James memberitahu Stadium Astro, sumbangan penyerang itu kepada Liverpool amat besar.
Dia pemain keempat paling pantas dalam sejarah Liga Perdana yang menjaringkan 50 gol selain muncul penjaring terbanyak Liverpool pada tiga musim terakhir. – AGENSI