KUALA LUMPUR: Safawi Rasid meminta rakyat Malaysia agar bersabar, seperti mana dia tenang menantikan peluangnya diturunkan oleh Portimonense dalam liga utama Portugal.
Kata Safawi, dia memahami keresahan peminat bola sepak negara apabila namanya masih ‘hilang’ dalam skuad utama selepas menanti dalam tiga perlawanan.
Dia juga tidak marah apabila penyokong Malaysia bertindak ‘menyerang’ laman sosial Portimonense kerana berang dia tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Santa Clara semalam.
“Terima kasih kepada peminat sentiasa mengambil berat perkembangan saya, mohon doa kejayaan saya di sini.
“Itu keputusan ketua jurulatih. Paling penting tugas kita sebagai pemain beri segalanya dalam latihan.
“Persaingan merebut tempat sangat sengit dan kita tahu liga di sini antara lima terbaik di Eropah, tahapnya sangat tinggi.
“Saya memang berlatih bersama pasukan utama sejak awal tiba di sini tapi kalau ada perlawanan bersama skuad bawah 23 tahun baru saya sertai sesi latihan mereka.
“Lepas habis perlawanan saya akan kembali bersama skuad utama.
“Saya percaya masa akan tiba dan peluang akan ada untuk saya buktikan kemampuan,” kata Safawi kepada Utusan Malaysia.
Portimonense kalah 1-2 semalam, kekalahan keempat mereka musim ini, sekali gus menghuni tangga ketiga tercorot.
Ini kali ketiga pemain berusia 23 tahun itu terlepas aksi liga utama sejak tiba di Portugal awal bulan lalu.
Dia sebelum ini tidak diturunkan dalam pertemuan menentang Maritimo pada 17 Oktober lalu yang disiar secara langsung di Astro Arena, malah tidak berada dalam skuad bertemu Tondela, 24 Oktober.
Setakat ini, Safawi hanya beraksi buat skuad bawah 23 (B-23) pada 16 Oktober lalu.
“Malas aku tengok. Pawi tak main gak. Tengok page Portimonense ni sana sini tag Sapawi dalam posting..sekali nama Sapawi xde pun dalam skuad..
“Bukan setakat first 11 dalam substitution pun tidak ada nama dia..something wrong with this club..,” tulis pemilik akaun Facebook, Muhammad Abdullah.
“Ape punya team la…asyik kalah je..dah la kalah pastu berlagak tak kasi safawi main,” kata Kamarul Faiz.
“No Safawi no win,” tulis Rizal Daud.
“Yang aku risaukan, kelab-kelab luar negara ni ambil pemain kita hanya untuk marketing pasukan dia orang. Dah sampai target, booommm!! babai!,” kata Mohd. Nor Iqmal.
Ada juga peminat menyeru Portimonense ‘memulangkan’ Safawi kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Safawi dipinjamkan selama semusim oleh JDT.