MANCHESTER: Manchester United mungkin membuat langkah sensasi membawa pulang Cristiano Ronaldo ke Old Trafford musim depan.
Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sudah mengemukakan pertanyaan rasmi kepada ejen bola sepak Portugal, Jorge Mendes mengenai status pemain tersebut.
Bintang penyerang itu pernah menghabiskan enam tahun yang gemilang bersama Red Devils dari 2003 hingga 2009 sebelum menyertai Real Madrid dan kemudian Juventus.
Pada usia 35 tahun, Ronaldo masih dianggap antara penyerang terbaik dunia dengan rekod jaringan yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan.
Difahamkan, Juventus mahu melepaskan pemain yang dibeli pada 2018 itu selepas masih gagal untuk memenangi Liga Juara-Juara sekali lagi.
Menurut laporan akhbar Portugal, Record, United sudah menyatakan minat terhadap Ronaldo, namun mereka akan menerima persaingan daripada Paris Saint-Germain (PSG).
Kata laporan itu lagi, Ronaldo tahu dirinya ‘dirisik’ Red Devils dan bersedia mempertimbangkan perkara itu.