MADRID: Juara 13 kali, Real Madrid akhirnya meraih kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara musim ini, berterima kasih kepada jaringan Rodrygo di lewat permainan.
Masuk sebagai pemain gantian, bintang remaja Brazil berusia 19 tahun itu meledak gol kemenangan pada minit ke-80, sekali gus membantu Real menewaskan gergasi Itali, Inter Milan 3-2 dalam aksi Kumpulan B pagi tadi.
Lautaro Martinez dan Ivan Perisic memberikan Inter harapan selepas Karim Benzema serta Sergio Ramos meletakkan Real di depan.
Malah, Ramos turut mencipta rekod meledak golnya yang ke-100 buat Real, satu pencapaian luar biasa buat seorang pemain pertahanan.
“Ia tiga mata sangat penting.
“Kami sedar kami kena menang perlawanan ini dan pemain mempamer karakter hebat selepas bergelut menentang lawan sukar,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.
Real memulakan musim ini dengan langkah sumbang apabila kalah 2-3 kepada Shakhtar Donetsk dalam aksi pembukaan sebelum diikat 2-2 oleh Borussia Moenchengladbach.
Kemenangan itubmembolehkan mereka memperbaiki kedudukan ke tangga ketiga dengan empat mata.
Inter yang dibimbing Antonio Conte menghuni kedudukan tercorot dengan dua mata selepas seri dalam dua aksi terdahulu.
Pasukan itu hanya menang satu daripada tujuh perlawanan terakhir.
Moenchengladbach mendahului Kumpulan B selepas membelasah Shakhtar 6-0. – AFP