KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan takziah kepada keluarga, saudara-mara serta kenalan Allahyarham Datuk Mokhtar Hashim yang meninggal dunia, awal pagi hari ini.
Pemergian Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan itu pada usia 78 tahun disahkan oleh anak saudaranya, Ahmad Hafiz Abdul Raffar menerusi satu hantaran Facebook.
“Innalillahi wainnailahi rajiun. Saya menerima perkhabaran sedih pagi ini berkenaan pemergiannya, seorang tokoh yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kelima pada tahun 1980-1983.
“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga, saudara-mara serta kenalan Allahyarham di atas pemergian ini.
“Marilah kita doakan moga roh Allahyarham sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah Taala serta ditempatkan bersama orang-orang soleh dan beriman. Amin,” tulis Reezal Merican di Facebook, sebentar tadi.
Menurut Ahmad Hafiz, Allahyarham meninggal dunia pada pukul 3.10 pagi tadi.
“Bagi pihak keluarga, ingin saya maklumkam kepulangan ayahanda tercinta kami (Datuk Mokhtar Hashim) ke Rahmatullah pada 3.10 pagi tadi,” tulisnya.