LONDON: Paris Saint-Germain (PSG) mempunyai kemampuan untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo daripada Juventus dan bersedia melakukan tindakan ‘luar jangka’, kata Pengarah Sukan PSG, Leonardo.
Ronaldo, 35, telah mengecapi pelbagai kejuaraan seperti Liga Perdana Inggeris, La Liga, Serie A serta Liga Juara-Juara sepanjang beraksi buat Manchester United, Real Madrid dan Juventus.
Begitupun, pemenang lima Ballon d’Or mungkin meninggalkan Juventus selepas dua musim kerana masih gagal menghadiahkan gelaran Eropah kepada kelab Itali itu.
Gergasi Ligue 1, PSG sudah memiliki dua pemain termahal di dunia iaitu Neymar serta Kylian Mbappe, dan kemasukan Ronaldo akan membentuk kombinasi ‘superstar’.
“Hari ini dalam bola sepak, kita tidak boleh jangka.
“Jika esok Cristiano Ronaldo bangun tidur dan berkata, ‘Saya ingin beraksi di tempat lain’, siapa yang mampu membelinya? Ini adalah satu lingkaran yang tertutup dan PSG dalam kalangannya.
“Seperti biasa, ada peluang. Kami harus bersiap sedia dalam jendela perpindahan dan itulah yang kami lakukan.
“Kami mempunyai keutamaan, senarai pemain yang diidamkan tetapi perkara seperti ini tidak boleh dijangka,” kata Leonardo dalam soal jawab di saluran media sosial PSG. – AGENSI