KUALA NERUS: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) diminta memuktamadkan segera status Piala Malaysia yang diarahkan untuk ditangguhkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.
Pengurus Terengganu FC, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, sebarang keputusan sama ada menyelamatkan atau membatalkan terus saingan berprestij itu bakal memberi kesan kepada isu kontrak barisan pemain dan kejurulatihan.
“Hampir kesemua kontrak pemain utama termasuk tonggak import dan tempatan akan tamat pada 30 November ini, malah saya tidak rasa Piala Malaysia dapat diadakan pada Disember.
“MFL perlu memutuskan secepat mungkin kerana beberapa pasukan termasuk Terengganu FC sudah merancang barisan pemain musim 2021 dan kita mahu memudahkan urusan pemain yang digugurkan bagi mencari pasukan baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ahmad Shahrizal memberitahu, Terengganu FC tidak berdepan kerugian jika Piala Malaysia dibatalkan kerana telah menjamin tempat dalam Piala AFC musim depan.
“Kita tak rugi apa-apa kerana slot ke Piala AFC akan diberi kepada pasukan kerana menduduki tangga ketiga Liga Super.
“Bagaimanapun, dari segi impak kewangan, kita menanggung kerugian lebih RM100,000 daripada kutipan tiket di tempat sendiri dan berbelanja hampir RM30,000 bagi perlawanan ke tempat lawan sejak saingan Liga Super disambung tanpa kehadiran penonton Ogos lalu.
“Jadi sebab itulah MFL perlu membuat keputusan sewajarnya berkenaan status penganjuran Piala Malaysia,” katanya.
Menurut Ahmad Shahrizal, buat masa ini pasukan masih berlatih seperti biasa sekali gus menaruh keyakinan Terengganu FC dapat meneruskan momentum di suku akhir jika perlawanan diteruskan.