BARCELONA: Lionel Messi sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti, namun Barcelona perlu berterima kasih kepada aksi hebat penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen ketika menumpaskan Dynamo Kiev 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara pagi tadi.
Ter Stegen beberapa kali menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi oleh Dynamo, yang masih mampu memberi tentangan hebat biarpun beraksi tanpa sembilan tonggak akibat positif Covid-19.
Messi meletakkan Barcelona di depan seawal minit kelima, sebelum tandukan Gerard Pique menjadikan kedudukan 2-0.
Ketika permainan berbaki 15 minit, Viktor Tsygankov mencemaskan tuan rumah dengan merapatkan jurang 1-2.
Dalam usaha mencari gol penyamaan, Dynamo menggandakan asakan bertali arus, namun percubaan mereka sering digagalkan oleh Ter Stege.
Biarpun gagal mempamer aksi terbaik, Barcelona masih mampu mengutip kemenangan ketiga berturut-turut, sekali gus menerajui Kumpulan G. – AFP