KUALA LUMPUR: Pemain remaja negara mula menunjukkan peningkatan positif selain sedang dalam proses untuk keluar dari zon selesa semasa aksi Playoff Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan yang berakhir, kelmarin.
Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek jelas gembira dengan prestasi yang ditampilkan barisan pemain di bawah kendaliannya itu.
“Ada yang saya lihat menyerlah dari aspek keluar daripada zon selesa kerana ada di antara mereka tidak pernah bertanding dengan pemain yang lebih tinggi selain banyak bermain secara selamat.
“Ada yang saya lihat ketika cabaran pada Oktober lalu mereka kalah, kali ini dia bangun dengan permainan yang lebih baik selain stamina semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Misbun memberitahu, dengan keadaan semasa dimana pemain pemain remaja ini ‘berkampung’ di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak Julai lalu susulan penularan wabak Covid 19 tampak memberi impak yang positif.
Katanya, modul dan sistem latihan yang disusun bersama barisan kejurulatihan nampak memberikan kesan positif.