KUALA LUMPUR: Jika Piala Malaysia ditangguh, kebanyakan pasukan akan menanggung kos lebih tinggi, jadi membatalkan kejohanan dilihat pilihan terbaik dimiliki Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ketika ini.
Bagi Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diperluaskan di tujuh lagi negeri sehingga 6 Disember sudah diduga ekoran peningkatan kes Covid-19.
MLF katanya perlu membuat keputusan terbaik untuk semua lapan pasukan yang sudah mengesahkan tiket suku akhir.
“Jika ditangguh ia akan menambah beban kewangan pasukan yang terpaksa menanggung bayaran gaji kerana kebanyakan pemain akan tamat kontrak hujung bulan ini.
“Kalau dibatalkan pasukan tidak akan berdepan bebanan kewangan dan pemain bebas memilih pasukan lain.
“Kita tunggu dan lihat apa keputusan MFL dan saya percaya mereka mempunyai jalan penyelesaian terbaik,” kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa kepada Utusan Malaysia semalam.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dastagir Mohd. Yassin senada dengan Nokman, namun masih berharap pembatalan Piala Malaysia adalah jalan terakhir diambil MFL.
Katanya, selepas beberapa kejohanan bola sepak menjadi mangsa Covid-19, beliau berharap kejohanan tertua itu tidak menjadi mangsa seterusnya.
“Kalau ditunda ia akan membebankan bukan hanya Pulau Pinang tetapi saya rasa semua pasukan akan alami masalah sama. Sudah tentu perbelanjaan akan meningkat.
“Bagaimanapun dalam situasi sekarang kesihatan dan keselamatan semua pihak juga penting.
“Mungkin esok (hari ini) MFL dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) akan panggil semua pasukan untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik berkenaan status Piala Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Wan Zack Haikal Wan Nor yang menjadi watak penting ketika membantu Selangor menumpaskan Melaka United 2-1 kelmarin berharap ada penyelesaian terbaik untuk membolehkan Piala Malaysia dihabiskan.
“Sebagai pemain kami sudah bersedia untuk beraksi dalam Piala Malaysia, sama seperti Liga Super lalu, jadi bila tak dapat bermain akan rasa kecewa.
“Apa pun, suka atau tidak kita kena hadapi (PKPB) sebagai langkah keselamatan dan kesihatan, namun saya masih berharap Piala Malaysia dapat diteruskan dengan kawalan pencegahan ketat,” katanya.