KUALA LUMPUR: Penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan 2-3 kepada Kedah sekali gus tersingkir daripada saingan Piala Malaysia 2020.
Penyerang Tok Gajah itu berkata, dia sedia menerima segala kritikan di atas kekalahan itu dan berharap penyokong tidak menunding jari ke arah pemain lain yang sudah memberikan aksi terbaik mereka dalam perlawanan itu.
Dia juga menzahirkan perasaan sedih dengan keputusan itu kerana itu merupakan perlawanan terakhirnya bersama skuad itu dan dia sebenarnya mengharapkan keputusan lebih baik.
“Jangan salahkan mana-mana pemain, saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan ini.
“Sebelum ini semua menyanyikan nama saya ketika pasukan menang dan saya sememangnya gembira dengan perkara itu tetapi sekarang saya bersedia untuk menerima segala kritikan.
“Ini adalah perlawanan terakhir saya bersama Pahang dan sejujurnya saya tidak mahu menamatkan karier saya seperti ini,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Darul Aman itu, Kedah membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi Muhammad Shakir Hamzah sebelum Kpah Sherman melebarkan jurang jaringan pada minit ke-35 dan Tchetche Kipre meledak jaringan ketiga tuan rumah.
Separuh masa kedua menyaksikan skuad Tok Gajah cuba bangkit menerusi jaringan Muslim Ahmad pada minit ke-49 sebelum Mohd. Faizal Abdul Rani menjaringkan gol kedua ketika berlawanan berbaki dua minit.