VALENCIA: Joan Mir menduduki tangga ketujuh Grand Prix Valencia hari ini, namun ia sudah memadai untuk membawanya merangkul kejuaraan MotoGP dunia buat kali pertama.
Ini kemenangan pertama buat Suzuki dalam tempoh 20 tahun.
Jaguh Sepanyol itu meraikan kejayaan dengan melakukan wheelie dan menyeret tayarnya untuk menghasilkan kepulan asap di hadapan paddock yang turut dihadiri keluarganya bagi meraikan kejayaan bersama.
“Saya berjuang untuk mendapatkan kejuaraan dengan sepenuh hati. Saya tidak tahu sama ada ingin ketawa atau menangis namun ia penuh emosi.
“Sukar dipercayai, saya tidak dapat gambarkan dengan kata-kata. Ini yang saya usahakan sepanjang hidup saya,” kata Mir.
Kali terakhir pelumba Suzuki memenangi kejuaraan dunia ialah pada tahun 2000 menerusi Kenny Roberts Jr.
Mir adalah pelumba keenam dalam sejarah Suzuki memenangi kejuaraan dunia MotoGP.
Sementara itu, pelumba Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli memenangi perlumbaan di Valencia. – AGENSI