MFL rayu Piala Malaysia diteruskan secara berpusat - Utusan Malaysia

MFL rayu Piala Malaysia diteruskan secara berpusat

HAMIDIN Mohd. Amin mempengerusikan mesyuarat MFL hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia.

Rayuan ini dibuat susulan permohonan mereka sebelum ini bagi meneruskan aksi Piala Malaysia ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikemukakan oleh MFL menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditolak menerusi pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata keputusan untuk membuat rayuan kepada MKN itu diputuskan selepas mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini (semalam).

“Kami sedia maklum mengenai keputusan MKN yang mengambil kira situasi Covid-19 di negara yang menyebabkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

“Bagaimanapun MFL masih berharap agar pihak MKN dapat mempertimbangkan rayuan MFL untuk meneruskan saingan Piala Malaysia musim ini dengan perancangan khas serta SOP (Prosedur Operasi Standard) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu ‘quarantine based’.

“Sebagai contoh pasukan-pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah negeri sehingga ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir. Pasukan-pasukan yang kalah pada perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir akan meninggalkan negeri tersebut setelah tamat perlawanan.

“Keputusan untuk mengemukakan rayuan ini turut disokong oleh lapan pasukan yang layak ke suku akhir di mana mereka bersedia untuk beraksi mengikut perancangan dan SOP seperti yang ditetapkan oleh MFL dan MKN,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, semalam.

MFL sebelum ini menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin sudah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican dalam mencari jalan untuk meneruskan saingan Piala Malaysia selepas kerajaan mengumumkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan pada 7 November, iaitu sehari selepas pusingan pertama berakhir.

Menurut Ab Ghani, berdasarkan permohonan pertama yang dikemukakan kepada MKN sebelum ini, MFL telah menyediakan perancangan khas untuk menyambung saingan Piala Malaysia bagi pusingan suku akhir, separuh akhir dan final.

“Dalam surat permohonan itu, MFL menyediakan perancangan untuk meneruskan kejohanan Piala Malaysia di negeri-negeri berkecuali PKPB di mana MFL telah membuat permohonan untuk menggunakan venue Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi suku akhir dan separuh akhir dan final.

“Kami amat berharap agar perancangan ini dapat dipertimbangkan memandangkan penangguhan saingan Piala Malaysia bakal memberi banyak kesan kepada industri bola sepak negara secara keseluruhan.

“Bagi MFL serta semua pasukan bakal terkesan terutamanya dari segi komitmen penajaan yang telah dimeterai dan ditandatangani bersama penaja-penaja untuk Liga Malaysia Musim 2020 sekiranya pertandingan itu tidak dapat diteruskan.

“Agak sukar untuk MFL menangguhkan kejohanan ini memandangkan kontrak pemain-pemain Liga Malaysia 2020 bersama pasukan-pasukan bakal berakhir pada hujung bulan ini,” katanya.

Pertandingan tertua itu telah membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November lalu di mana lapan pasukan telah layak ke suku akhir iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur, Pulau Pinang, UiTM FC, Kedah, Perak, Terengganu FC dan Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN