LONDON: Daniil Medvedev melengkapkan kecemerlangannya dalam kejohanan tenis Jelajah Dunia Akhir ATP selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Dominic Thiem sebelum merangkul kejuaraan terbesar dalam kariernya pagi tadi.
Pilihan keempat dari Rusia itu yang sebelum ini mengejutkan juara lima kali, Novak Djokovic dan bintang No. 2 dunia, Rafael Nadal muncul pemain pertama menumpaskan tiga jaguh terbaik dunia dalam satu kejohanan selepas menang 4-6, 7-6 (7/2), 6-4 di Arena O2.
Berusia 24 tahun, Medvedev memenangi 10 perlawanan berturut-turut selepas muncul juara Paris Masters awal bulan ini, malah dia mencatat sejarah manis tahun ini apabila mengekalkan rekod tanpa kalah pada penampilan pertama di London.
Begitpun, ia kekalahan yang memeritkan buat Thiem, yang turut tewas dalam final kejohanan elit membabitkan lapan pemain itu ketika bertemu Stefanos Tsitsipas tahun lalu.
“Perlawanan yang hebat. Antara kejayaan terbaik saya..dua jam dan 42 minit, tiga set menentang pemain hebat.
“Dominic, tahniah kamu sudah terbukti terbaik dengan apa yang dicapai dalam karier kamu, malah kamu sudah tersenarai dalam sejarah tenis dunia.
“Kamu memenangi Grand Slam tahun ini. Kamu bermain dengan luar biasa dan saya harap kita akan beraksi dalam lebih banyak perlawanan penting pada kejohanan besar seperti ini di masa akan datang,” kata Medvedev.
Thiem memberi saingan sengit di setiap set sebelum akur dengan kekalahan itu.
“Sudah tentu saya kecewa, tetapi pada masa sama saya juga bangga dengan prestasi sepanjang minggu ini.
“Daniil memang berhak memperolehinya. Ia perlawanan yang hebat,” kata Thiem, pemain No. 3 dunia dari Austria.
Medvedev menjadi pemain Rusia pertama memenangi Jelajah Dunia Akhir sejak Nikolay Davydenko menjuarai edisi pertama di London pada 2009.
Tahun depan, kejohanan itu akan dilangsungkan di Turin, Itali. – AFP