KUALA LUMPUR: Selepas membuat penampilan bersejarah dalam liga utama Eropah bulan lalu, penyerang remaja sensasi, Luqman Hakim Shamsudin bersedia diturunkan sekali lagi esok (3.45 pagi Isnin waktu Malaysia) apabila KV Kortrijk menentang Oostende dalam Liga Pro Belgium.
Pemain berusia 18 tahun itu sudah kembali menjalani latihan bersama skuad utama Kortrijk kelmarin selepas disisihkan tiga minggu akibat kecederaan hamstring.
Pengurus pasukan, Yves Vanderhaeghe berkata, kepulangan Luqman yang mesra disapa Luqie adalah berita baik buat kelab yang turun dengan misi memburu kemenangan di laman sendiri.
Luqman yang beraksi pada 16 minit terakhir permainan ketika Kortrijk tewas 1-3 kepada juara Belgium 34 kali, Anderlecht bulan lalu mengalami kecederaan pada menjalani sesi latihan.
“Minggu lalu kami hilang enam pemain utama ketika menentang Club Brugge (kalah 1-0) akibat kecederaan dan Covid-19.
“Bagaimanapun tiga pemain sudah kembali.
“Luqman Hakim dan Christophe Lepoint telah menyertai latihan pasukan utama. (Faiz) Selemani juga sudah pulih daripada kecederaan namun situasi mereka masih perlu dipantau sebelum disahkan boleh beraksi atau tidak,” kata Vanderhaeghe dalam kenyataan di laman web rasmi kelab semalam.
Biarpun membuat penampilan singkat dalam pertemuan menentang Anderlecht 24 Oktober lalu, namun gerakan Luqman membuka kepada gol tunggal Kortrijk yang disempurnakan Ilombe Mboyo menerusi sepakan penalti.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia minggu lalu, Luqman berkata, dia bukan sahaja sudah pulih dan kembali cergas, malah fizikalnya lebih baik serta ‘sado’ selepas banyak menjalani latihan di gimnasium.